oleh: Hishamudin Rais
http://aminiskandar.wordpress.com
Saya cukup hairan  dan marah apabila ada yang menuduh Mat Ezam sebagai seorang pengkhianat. Ini bukan kerana saya hendak bodek Mat Ezam. Saya hanya cuba menerangkan hal duduk perkara.  Malah saya cukup hairan kenapa akhbar tabloid Le Fou Total   terperanjat  gadang apabila Mat Ezam masuk menjadi anggota gerombolan United Malays National Organisation.
Sesiapa yang hairan atau terperanjat  mereka adalah ahli-ahli politik poyo. Ngok tak tahu membaca politik macam  le chef de fou Zainuddin Maidin.
Saya tahu siapa Mat Ezam ini. Dua tahun saya berkongsi satu sel dengan dia. Ezam bukan Mat Ezam poyo. Dia bukan pengkhianat garis perjuangan. Mat Ezam sampai hari kiamat pun  tidak akan mengkhianati garis perjuangan  yang menjadi akidah hidupnya.
Cuba ingat betul-betul   dan ingatkan apa yang selalu di ceramahkan oleh Mat Ezam. Bukankah Mat Ezam selalu berkata -  dia akan melawan penindasan dan berjuang untuk kumpulan yang tertindas. Dia akan tampil ke hadapan untuk membantu kumpulan minoriti yang tertindas. Malah dia pernah berceramah sampai terpancut-pancut  suaranya hendak meniru-niru bunyi suara Kamarad Karl Marx dengan kata-kata  – contre l’ oppresion de l’homme par l’homme.
Memasuki gerombolan United Malays National Organisation adalah garis politik Mat Ezam yang tepat. Gerombolan United Malays National Organisation sesudah PRU ke 12  adalah gerombolan yang sedang tertindas. Menyokong  dan sama-sama sebaris  berjuang  dengan  gerombolan minoriti yang tertindas dan sesak nafas adalah tugas  dan garis politik  Mat Ezam.
Ini bukan khianat namanya. Ini garis politik  yang tepat. Kita semua wajib belajar dari Mat Ezam. Kita patut bangun untuk sama-sama menyokong gulungan minoriti yang tertindas. Berjuang sebaris dengan mereka yang tertindas adalah sebahagian dari iman.  Yang sebahagian lagi  iman kita ialah berdoa untuk dapat projek. Ini bukan cakap saya ini. Saya pungut  hadis sahih ini dari Ibnu Iwana al- Kontoli  dari kitab Al-Fikarabun yang sama-sama  saya baca dengan Mat Ezam semasa  di Kamunting.
Menyokong sesiapa yang hendak rebah adalah  garis yang tepat yang telah diambil oleh Mat Ezam. Apakah masih ada warga yang tidak menyedari  dan tidak percaya bahawa gerombolan United Malays National Organisation sedang tertindas?  Ada sesiapa yang masih jurang jelas?  Kalau masih ada yang  tidak faham, maka  mengikut kitab  Al-Fikarabun , kumpulan yang tidak faham ini tergulung kepada pengikut  mazhab sesat lagi menyesatkan.
Bayangkan - tidak lama lagi  gerombolan United Malays National Organisation akan tegak berseorangan. MCA, MIC dan Gerakan sedang merancang hendak memasuki Pakatan Rakyat. Mereka  semua ini telah sanggup murtad untuk  mengikut Tuan Syeikh baru mereka.  Rakyat  Sabah dan Serawak sedang berduyun-duyun lari membuat IC baru dan  bercadang untuk meninggalkan  Malaysia.
Syabas Mat Ezam – saudara jujur dengan garis perjuangan membantu yang lemah dan melawan yang gagah. Saudara cukup sedar bahawa  Mat Dolah sekarang adalah pemimpin yang paling lemah dalam sejarah politik tanah air. Saudaralah pembantu setianya. Tupang pembawa rebahnya.
Fakta politik sedang menunjukkan bahawa dalam gerombolan United Malays National Organisation Mat Dolah  sedang dalam proses hendak disingkirkan. Kita semua tahu Mat Najib sedang menyusun baris mengepung Mat  Dolah. Dalam masa yang sama Muhyiddin juga sedang  berura-ura untuk  menibai Mat Dolah dari belakang. Ini semua adalah bentuk-bentuk penindasan yang sedang dihadapi oleh  Mat Dolah.  Inilah tugas suci  Mat Ezam dengan rela hati datang membantu Mat Dolah yang sedang ditindas.
Di luar gerombolan ini ada pula  Mahafiraun  yang tidak henti-henti menyalak dan menggigit  punggung Mat Dolah. Maka di sini satu lagi peranan agung Mat Ezam. Membantu yang lemah dan menolong yang tersepit dan yang sedang di salak Mahafiraun.
Tentang Mahafiraun ini Mat Ezam cukup  cemuh. Mat Ezam pernah menerangkan kepada saya – jika jumpa Mahafiraun dan jumpa Mat Dolah ketuk kepala Mukhriz dulu. Inilah kata-kata hikmat dari Mat Ezam yang sampai kiamat akan saya ingati.
Saya cukup marah apabila menerima sms yang cuba menghina Mat Ezam. Sms ini cuba  menuduh Mat Ezam ini sama seperti Raja Katak. Ini tidak betul. Mat Ezam tidak melompat.  Mat Ezam melutut. Ini juah bezanya. Melompat ke atas  seperti katak. Melutut ke bawah seperti Mat Ezam. Jadi tolong jangan samakan Mat Ezam dengan Ibrahim Ali. Mat Ezam ada kelas.
Saya juga meminta semua fitnah dan tohmah  tentang Mat Ezam di hentikan serta-merta. Cerita tentang Mat Ezam datang membantu Mat Dolah memang betul. Tetapi  kini telah  wujud analisa  politik cekai yang  berunsur fitnah tersebar. Rasa saya konco-konco  Mat Najib yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini. Konco-konco  Mat Najib menganggap Mat Ezam  datang kerana arahan bos lamanya untuk  membantu Mat Dolah. Ini fitnah. Mereka kurang arif dengan tujuan suci  Mat Ezam.
Saya juga di fahamkan bahawa Rafidah cukup gembira dengan kedatangan Mat Ezam.  Saya dengar kenduri talkin akan diadakan di Kuala Kangsar, kawasan parlimen Rafidah untuk menyambut Mat Ezam.  Dari apa yang saya difahamkan Mat Ezam telah menelefon Rafidah. Dengan manja sekali  Mat Ezam telah bersedia untuk  menghadiahkan sebuah kotak harta karun  yang ada pada Mat Ezam. Saya dengar khabar kotak ini ada menyimpan kasut Rafidah yang patah ketika Rafidah berlari-lari untuk mencium punggung  Mahathir ketika Mahathir menangis dahulu.
Satu kotak lagi akan dihadiahkan  kepada Nazri Aziz. Saya dengar  khabar kotak untuk Nazri ini bersisi lesen-lesen teksi. Sebuah lagi kotak untuk Noh Omar yang penuh dengan surat pajak. Lesen-lesen teksi dan surat-surat pajak  ini telah dikumpulkan oleh Mat Ezam ketika dia menyamar sebagai pegawai pencegah rasuah pada satu ketika dahulu.
Saya sedar memang ramai orang tidak mengetahui  bahawa ketika  Mat Ezam  menyamar macam Inspektor Jacques Clouseau  dulu dia telah melakukan satu yang amat tragik.  Biar saya nyatakan di sini satu rahsia yang begitu lama saya simpan. Menurut Mat Ezam tiga lagi kotak  yang dicari-cari oleh pihak polis itu dipenuhi dengan gambar-gambar dan   video   rakaman Altantuya yang  sedang bershopping dengan Dotty di Paris.
Dari mulut Mat Ezam sendiri saya telah di beritahu bahawa video ini telah di rakamkan oleh KGB.  Bagaimana pita ini sampai ke tangan Mat Ezam saya juga kurang arif. Apa tujuan KGB memberikan pita rakaman dan gambar-gambar Altantuya di Paris  wallah hu alam bisawwab - hanya Lingam sahaja yang maha mengetahui. Apa hubungan Mat Ezam dengan KGB ini saya pun tidak pasti. Tapi menurut Mat Ezam ada seorang pengendali laman web yang telah membuat salinan video ini untuk ‘safe keeping’.
Saya cukup bengang dengan Minah sepupu Mat Najib yang ingin bertanyakan tiga soalan untuk Mat Ezam. Siapa Minah ini? Apakah locus pocus Minah ini untuk menyoal Mat Ezam. Ini mesti atas arahan sepupunya. Saya yakin Mat Ezam pasti akan  bertanya kembali kepada Minah ini nanti – wahai Minah, mana dia laporan kewangan Sukom yang sampai hari ini belum di audit? Pasti  menggigil bra  Minah ini nanti bila Mat Ezam mula menyoal. Jangan play play,  ini Mat Ezam. Dia bukan Kancil dia Wira.
Saya paling menyampah melihat sikap  Angkatan Muda Keadilan   yang menjadikan  Mat Ezam ini seperti selipar buruk. Sudah dipakai ditinggalkan. Ini betul-betul kurang hormat. Minah di Lorong Haji Taib pun kalau sudah pakai kena bayar. Angkatan Muda Keadilan telah murtad terhadap ketua mereka.
Sepatutnya Mat Ezam yang begitu gah dan berpengaruh pasti ada beratus-ratus ahli Angkatan Muda yang akan berduyun-duyun mengikut buntut  Mat Ezam. Tetapi ini tidak berlaku. Angkatan Muda Keadilan telah  menghina Mat Ezam  sama seperti gerombolan United Malays National Organisation menghina Tun Dr. Mahathir bekas Presiden mereka yang keluar dari gerombolan.  Mat Ezam terkonteng-konteng dengan empat lima Pak Pacak ketika membuat  sidang akbar. Kenapa Mat Ezam seekor Wira  dikulupkan. Apa punya turrr Angkatan Muda Keadilan ini.
Ada satu perkara yang  amat-amat memilukan hati saya apabila Mat Ezam masuk ke dalam gerombolan United Malays National Organisation ini. Saya tertanya-tanya apakah yang akan terjadi kepada kawan baik saya  si  Lokman Adam yang  bersama-sama di Kamunting dahulu. Lokman selalu ke hulu ke hilir  berceramah dan buka cerita  tentang strategi perjuangan  Parti Keadilan Rakyat. Ini  modal cari makan Lokman Adam.
Apabila  Mat Ezam memasuki gerombolan United Malays National Organisation  ke mana agaknya Lokman Adam nak cari makan kerana Mat Ezam juga akan ke hulu ke hilir dengan modal yang sama. Mat Ezam seharusnya bersimpati dengan sahabat lamanya Lokman Adam. Saya berharap mereka akan berkongsi kembali cari makan sama-sama agar sorro tidak miss.
Kelentong ke hulu kelentong ke hilir
Mat Ezam mencegah rasuah
Hujah dahulu hujah lendir
Kini Mat Ezam dah pandai rasuah.
Saturday, May 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment