[Analisa http://www.melikapakjangak.blogspot.com/ berkait dengan kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Analisa En Ramli menarik perhatian saya. ]
Ezam kembali ke pangkuan Umno dengan izin?
SAYA sering melihat sesuatu isu atau apa-apa perkara pun dalam bentuk berlapis sejajar dengan ciptaan alam maya ini oleh pencipta-Nya juga berlapsis. Misalnya bumi dan langit dikatakan masing-masing dalam bentuk tujuh lapis, malah kulit (belulang) yang membaluti tubuh manusia juga adalah tujuh lapis.
Secara peribadi saya melihat perlunya sesuatu perkara dilihat, dipelan, dirangka dan dikerangkakan berlapis-lapis, kena ada pelan A, B,C,D,E,F,G. Demikian halnya dengan Ezam Mohd. Noor kembali ke pangkuan Umno yang diikuti oleh rakan-rakan yang lain, perlu dilihat dalam bentuk berlapis-lapis.
Pada asasnya saya yakin, Pas juga mengharapkan Ezam akan sertai parti bila tokoh parti KeADILan Nasional (yang kemudiannya dikenali dengan PKR selepas bergabung dengan PSRM) meninggalkan PKR tahun lepas.
Tentu ada 'sesuatu' kenapa orang seperti Ezam boleh tinggalkan PKR dan juga pasti ada 'sesuatu' kenapa beliau memilih kembali ke pangkuan Umno. 'Sesuatu' itulah yang tidak mudah untuk diteka dengan tepat, kecuali oleh empunya diri.
'Belawok-banga' dan 'belawok-kohong' kalau orang PKR, Pas mahu pun parti-parti pembangkang yang lain menganggap kemasukkan semula Ezam ke dalam Umno tidak memberikan sebarang impak kepada perkembangan politik negara, apatah lagi kepada pakatan pembangkang.
Walaupun Ketua Angkatan Muda PKR menegaskan tidak akan ada lagi orang PKR akan ikut jejak Ezam, ianya perlu dilihat dalam bentuk berlapis-lapis. Bagi saya penegasan itu perlu dilihat dalam bentuk berlapis-lapis dan tidak mustahil, tokoh yang buat penegasan itu sendiri pun akan ikut sama masuk Umno.
Hampir keseluruah orang PKR pada asalnya orang Umno. Mereka keluar Umno bukan kerana tidak setuju dengan dasar Umno atau kerana bencikan Umno, sebaliknya mereka tinggalkan Umno kerana mereka tidak 'berlaga angin' dengan Dr Mahathir dan mereka bersimpati dengan Anwar Ibrahim yang dilihat menjadi mangsa keganasan D Mahathir.
Bila Umno tanpa Dr Mahathir lagi, maka tidak ada sebab dan alasan lagi bagi orang PKR untuk berada di luar Umno sedangkan jiwa dan tatacara berpolitik mereka masih tebal dan kekal dalam bentuk Umnosme.
Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno bukan musuh orang PKR. Lagi pula semasa Pak Lah jadi Perdana Menteri dan Presiden Umnolah, maka Anwar dibebaskan dari penjara, malah ramai tahanan ISA pada era pemerintahan Dr Mahathir dibebaskan.
Pada era Abdullah Ahmad Badawisme, rupanya tidak ada keganasan dan tidak ada yang cuba menjadi militan melancarkan penentangan. Maknanya era Abdullah disenangi oleh majoriti rakyat sehingga mereka tidak perlu mengadakan reformasi, apatah lagi menyusun perjuangan militanisme, kecuali oleh Hindraf.
Sebagai seorang yang sering terdedah dengan pelbagai gerakan penentangan dan reformasi semasa pemerintahannya, Dr Mahathir nampaknya kurang senang dengan negara tanpa penentangan dan gerakan reformasi, lantas beliau sendiri yang cuba mengerakkannya sebagaimana beliau pernah kacau era pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Apa yang Dr Mahathir lakukan yakni apabila Pak lah tidak letak jawatan sebagaimana yang beliau dan Mukhriz anak beliau mahukan maka beliau keluar Umno, demikianlah halnya dengan orang PKR, bila Dr Mahathir tidak letak jawatan demi untuk memulihkan kembali kekuatan Umno, maka mereka meninggalkan Umno dan wujudkan PKR yang mana rupa bentuknya sahaja berbeza tetapi rohnya tetap serupa.
Bezanya Dr Mahathir keluar Umno seorang diri dan hanya disusuli oleh bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Sanusi Junid dan anak Dr Mahahtir sendiri (Mukhzani) manakala yang keluar Umno kerana 'tidak berlaga angin' dengan Dr Mahathir jumlahnya beribu.
Kebangkitan reformasi dan anti Mahathirisme yang sangat ketara, menterpaksakan Dr Mahathir berundur dari kepemimpinan dan menggantinya dengan tokoh yang beliau sendiri pilih, yakni Pak Lah. Pada saya Dr Mahathir memperalatkan Pak Lah supaya kalau Umno tumbang pada pilihanraya umum kesebelas dilihat berpunca dari ke;emahan Pak Lah dan bukan kerana kebencian majoriti rakyat terhadap beliau yang telah membuatkan Anwar Ibrahim masuk penjara.
Bila Pak Lah berjaya mencatat rekod cemerlang dalam pilihanraya umum ke-11 dan secara tidak langsung membuktikan kemerosotan kemenangan Umno/BN pada pilihanraya umum ke-10 sehingga Terengganu gagal dipertahankan adalah kerana orang tidak senang dengan Dr Mahathir. Ianya nampaknya kurang digenari Dr Mahathir yang mula bikin onar.
Banyak tindakan-tindakan Pak lah yang disenangi majoriti bercanggah dengan keperluan peribadi Dr Mahathir sehinggalah membawa kepada kecaman terbuka beliau terhadap Pak Lah yang nampaknya lebih mengambil sikap mengalah tetapi tegas dan tegar mempertahankan kedudukannya. Akhirnya Dr Mahathir sendiri mufarakah dari Umno.
Tidak lama selepas kemufarakahan Dr Mahahtir yang sudah semakin tumpul kuku dan taring, Umno tanpa Dr Mahathir di dalamnya menerima kemasukkan Ezam Mohd. Noor yang masih bertenaga dan masih tajam kuku dan taringnya. Langkah Ezam disusuli oleh rakan-rakannya yang lain dan saya yakin akhirnya keseluruhan orang PKR akan kembali ke pangkuan Umno.
Melihat isu kemasukkan Ezam ke dalam Umno dengan penglihatan yang berlapis-lapis, saya yakin dalam tempoh terdekat PKR akan dibubarkan sebagaimana S46 dibiarkan tanpa batu nesan dan akhirnya Anwar Ibrahim sendiri akan kembali ke pangkuan Umno kerana kalau benarlah impiannya mahu menjadi Perdana Menteri, platform terbaik Anwar adalah Umno.
Dengan kekal sebagai penasihat PKR, Anwar akan menemui jalan sukar untuk memastikan mimpinya menjadi realiti kerana kerajaan PKR di Selangor sendiri tidak cukup meyakinkan untuk mampu berkuasa lebih dari satu penggal. Demikian halnya di Perak. Kalau pun boleh selamat pada pilihanraya umum akan datang hanya Kelantan dan Kedah manakala Pulau Pinang akan kekal menjadi milik DAP.
Dalam melihat sesuatu isu dalam bentuk berlapis, saya rasa kemasukan Ezam ke dalam Umno adalah dengan restu Anwar sendiri dan ianya adalah suatu bentuk permainan politik jangka panjang dan hanya mampu dihidu oleh sesiapa yang melihat sesuatu isu itu secara berlapis-lapis, bebas dari ketaksuban dan kejumudan.
Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim - hadith sahih
Monday, June 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment